
Jom buat dinding Shiplap, mudah saja untuk menjadikan dinding rumah anda lebih menarik! Suatu sudut disetiap rumah pastinya menjadi tumpuan tetamu. Pastinya anda tidak mahu mood yang hambar apabila memandang ruang tersebut. Antara tips untuk menjadikan ruang itu lebih hidup dan ceria adalah dengan menjadikan satu dinding tumpuan (feature wall) sebagai titik fokus dalam sesebuah ruang.

Terdapat pelbagai cara untuk menghias dinding tumpuan ruang kediaman anda. Antaranya adalah dengan menghiasnya menggunakan kayu, mewarnakan sedikit gelap, lukisan mural dan sebagainya. Jika anda seorang yang sukakan gaya rumah ladang (farm house), meletakkan shiplap di ruangan tersebut mungkin adalah pilihan yang tepat.
Sejarah Shiplap
Mendapat nama dari teknik membina kapal atau bot. Papan Shiplap adalah sejenis papan kayu khusus yang biasanya dipasang pada bahagian luar bangunan atau kediaman sebagai lapisan perlindungan. Selain dari itu juga papan ini banyak digunakan untuk membuat lorong luar bagi bumbung, bangsal dan rumah bersejarah
Namun pada masa kini, ianya banyak digunakan sebagai hiasan dalaman rumah. Maka fungsinya juga telah berbeza. Kini, Shiplap dijadikan satu alternatif yang cepat dan murah sebagai hiasan dinding atau syiling untuk ruang yang mahukan kelainan. Ini dapat menimbulkan suasana hidup dan segar yang berkonsepkan ladang didalam rumah.
Lapisan papan shiplap biasanya dicat dengan warna-warna semulajadi dan segar. Antara warna pilihan yang sering menjadi pilihan ialah putih, krim, hijau muda dan vanila.
Tips Buat Dinding Shiplap Dengan Mudah
Untuk artikel kali ini, kami kongsikan kepada anda cara untuk buat dinding shiplap pula. Sebenarnya untuk membina dinding shiplap ini sebenarnya sangatlah mudah dan murah. Jika dilihat kepada hasilnya, anda pastinya berpuas hati. Kos untuk membuatnya pula bergantung kepada keluasan ruang. Jika ruangnya kira-kira 4×8 kaki,(MDF Board 6mm), kosnya lebih kurang RM100 saja!
Dengan menambah ciri-ciri ini pada ruangan dinding rumah anda, pastinya boleh menukar titik tumpuan dinding rumah kepada sesuatu yang lebih menarik bukan.
Bahan DIY Dinding Shiplap:
- MDF board 2 keping saiz 6mm 4×8 kaki boleh beli di Hardware
- Cat (scooter by jotun)
- Gam kayu/ bond
- Gap filler
- Nail Gun
- Sesiku L
- Pita pengukur
Langkah-langkah Membuat Dinding Shiplap Dengan Mudah
1. Sediakan Dinding Ruangan Anda
Sebaiknya bolehlah mengecat dinding ruang anda sebelum memasang kayu shiplap. Terutamanya dibahagian pertemuan antara dinding yang dipasang shiplap dengan dinding biasa.
2. Tandakan Dinding
Dinding rumah ditanda menggunakan pensel sebagai panduan sebelum menampal agar kerja memotong lebih mudah.
3. Mulakan Dibahagian Bawah Dinding
Pasang kayu anda di bahagian bawah dinding dahulu dan bergerak ke atas. Siapkan sebaris satu demi satu. Pastikan anda menggunakan penimbang air (spirit water level) agar susunan kayu yang diletakkan sentiasa rata. Mulakan kerja-kerja melekatkan papan anda ke dinding.
Anda boleh menggunakan 2 keping syiling 50 sen atau batang aiskrim sebagai panduan agar jarak antara setiap papan adalah sama. Tampal papan menggunakan gam (kayu).
Jika mempunyai bahagian plug, boleh potong kayu ikut saiznya.
4. Kemasan Papan
Gunakan gap filler untuk menutup ruang-ruang kecil diantara celahan untuk kemasan dinding anda.
5. Cat Dinding Shiplap
Gunakan cat undercoat terlebih dahulu sebelum mula mengecat dinding Shiplap dengan warna pilihan anda.
Dinding Shiplap anda sudah pun siap!
Untuk video tutorial buat dinding Shiplap dengan mudah, anda boleh rujuk dilink sini
Leave a Reply